CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Wednesday, December 10, 2008

Adam dan Hawa


AIN HAWANI, zaman solonya ternoktah pada usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk, menyebabkan dia dan Adam Mukhriz terjerat. Rayuannya tidak dipedulikan. Lelaki itu pula diam membisu, seolah-olah benar apa yang berlaku. Akhirnya, ijab kabul antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela.

Sayangnya, hubungan suami isteri ini hanya tertulis di atas kertas sahaja. Ain yang kecewa, pergi jauh mencari harga diri. Adam yang ditinggalkan, menghitung hari-hari nan sepi. Setiap saat rindunya terus melimpah. Namun Ain tidak pernah berpaling melihat cinta yang mekar di hatinya.

Ah... Adam pasrah! Semua itu salahnya kerana tidak berani memaknakan kata-kata.Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan di depan pintu Majidilharam. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membenci dan menganggap ikatan mereka sudah terputus. Hanya lafaz Adam yang ditunggu.Tapi tegarkah Ain?

Sejak pertemuan itu, hati Ain berbolak-balik. Nafasnya bagai berombak, perasaannya jadi gementar dan hidupnya sudah tidak keruan hanya kerana Adam. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan. Ingin diluah, mulut tak terkata. Ingin disimpan hati tak tertanggung. Bagi Adam, dia tetap menanti Hawanya biarpun lapan tahun lagi...

1 comments:

Cikgu Eta said...

FRAGMEN NOVEL :

Hari Isnin itu agak sukar untukku me-lakukan tugas dengan baik. Keletah kanak-kanak yang seperti mempunyai tenaga berlebihan membuatkan aku hampir tewas menangani kerenah mereka. Menjadi cikgu tadika memerlukan kesabaran fizikal dan mental. Aku bukan sekadar membina pengalaman, tapi turut sama mempelajari perasaan dan minda kanak-kanak. Aku belajar bagaimana untuk menggunakan diplomasi mengawal keadaan mereka yang boleh bertukar menjadi agresif dalam sekelip mata.

Kak Zah dan guru-guru lain sering mengingatkan sesuatu yang aku tidak tahu tentang kanak-kanak. Mereka kadang-kadang mungkin lebih dewasa daripada orang de-wasa dengan cara pemikiran mereka, tapi mereka tetap kanak-kanak yang pastinya menangis dan merajuk bila ditegur atau dimarahi.

Cuma hari ini, entah mengapa keletihan begitu terasa. Bekas-bekas plastik untuk mengisi pulut kuning belum lagi dibasuh. Bekas-bekas ini harus dikembalikan ke rumah Kak Zah sebelum petang. Sedangkan sebaik sahaja sesi perse-kolahan tamat pukul 11.30 tengah hari, aku dan dua cikgu lagi sibuk membersihkan buku-buku lama yang sudah dimakan anai-anai di dalam bilik stor. Jika tidak dibersihkan, pasti almari ini juga akan reput.

“Kak Rubi rasa penat sangat hari ni. Boleh tak Ain tolong hantarkan bekas-bekas ni ke rumah Kak Zah? Ikut jalan pintu belakang aje macam kita buat pagi tadi. Bibik pembantu rumah tu memang selalu duduk kat dapur. Kalau ikut jalan depan, memang payah sikit dia nak buka pintu. Ain ikut aje pintu dapur.” “Betul bibik ada kat rumah tu, Kak Rubi? Kalau tak ada, macam mana?” soalku seperti orang dungu.

Aku sebenarnya tidak mahu lagi bertembung dengan Am sejak kejadian Sabtu lalu. Perbuatannya itu benar-benar menimbulkan rasa marahku. Saban hari aku memikirkannya, semakin kuat juga aku memarahi diriku kerana aku seolah membiarkan diriku diperlakukan sebegitu.

Tapi kenapa bila Am cuba melakukannya buat kali kedua, barulah aku mula bertindak? Kenapa tidak sejak kali pertama lagi? Kenapa jadi begitu? Aku tidak mahu mengingatinya lagi. Aku benar-benar malu!!! Kak Rubi tersengih geli hati mendengar kata-kataku. “Lah... dia nak pergi mana lagi? Dah sah-sah kerjanya pembantu rumah, tentulah dia ada kat rumah.” Aku mengangguk sahaja, akur dengan kata-kata itu.

“Kejap lagi Ain hantarlah, ya sebab bekas-bekas plastik ni nak pakai isi pulut kuning untuk dihantar ke masjid sebelum solat Maghrib. Jangan lupa ya.” Kak Rubi mengingatkan aku. Aku mengangguk lagi.

Lebih kurang pukul 5.30 petang, aku membawa dua buah beg besar berisi bekas plastik ke pintu belakang banglo yang tersergam itu. Pintu pagar tidak berkunci manakala pintu dapurnya pula tidak ditutup rapat. Dalam fikiranku, tentu pembantu rumah itu ada di dalam.

Aku masuk memberi salam. Mula-mula perlahan, tapi apabila salam tidak berjawab, suaraku semakin lantang. Aku mula rasa tidak selesa dengan keadaan sunyi sepi di rumah itu. Salamku masih tidak berjawab lagi. Aku melangkah masuk ke dapur.

Aku letakkan beg besar itu di atas meja. Keadaan di dapur ketika itu agak berselerakan. Bau enak kari ayam dan rendang daging cukup me-nyelerakan, walaupun keenakan masakan tersebut telah aku nikmati tengah hari tadi.

“Bibik?” panggilku dengan suara perlahan. Ke manakah ibu Kak Zah ketika ini? Takkanlah seorang pun tiada di rumah. “Bibik? Bibik...” panggilku lagi, dengan suara lebih kuat. Aku melangkah ke ruang makan. Wah! Kagum aku melihat perabot-perabot serta hiasan lampu siling dan dinding. Cukup menawan dan nampak mahal sekali seperti yang selalu aku lihat di majalah-majalah dekorasi.

Aku cepat-cepat kembali ke ruang dapur. Takut kalau-kalau dianggap menceroboh oleh ahli keluarga Kak Zah yang tidak mengenaliku. Tiba-tiba, seekor kucing Parsi berkejar dan menggesel-gesel tubuhnya di kakiku. Aku memeluk kucing itu dan membelainya. Kucing itu cuba menguis cermin mata yang aku pakai, hinggakan hampir terjatuh dibuatnya. Mujur cermin mata itu tersangkut di rambutku.

Rambutku jadi sedikit kusut. Kalau tidak silap, inilah kucing Erin yang aku lihat pagi tadi. Kenapa dia begitu mesra denganku? Laparkah dia? Aku cuba mencari sedikit makanan untuknya. “Ain?” Suara Am kedengaran.

Aku pantas menoleh. Dadaku berdegup kencang. Am seolah baru bangun dari tidur. Rambutnya sedikit kusut, tidak berbaju dan hanya berseluar pendek. Kami tidak patut bertemu dalam keadaan dirinya yang sebegitu dan aku pula masuk ke rumahnya tanpa izin.

“Ain nak hantar bekas plastik pulut kuning pagi tadi.” Aku berterus terang tentang tujuan kedatanganku sambil melarikan pandanganku daripada Am. Am memandangku. Pandangannya kosong. Aku membetul-betulkan rambutku.

“Macam mana Ain masuk ke sini?” tanya Am kehairanan. Ketika aku hendak menerangkan keadaan yang sebenar, kedengaran loceng rumah berbunyi beberapa kali. Aku tidak sempat untuk menjelaskannya kerana Am sudah meluru ke ruang hadapan untuk melihat tetamu yang datang. Dari dapur, aku terdengar suara beberapa orang lelaki memberi salam. Jam menunjukkan pukul 6.00 petang ketika ini. Cepat sungguh wakil dari pihak masjid datang untuk mengambil bekas pulut kuning yang diberikan oleh Kak Zah. Tumpuanku kembali ke arah kucing yang masih tidak jemu menggesel tubuhnya di kakiku.

“Eh... janganlah macam tu sayang,” pujukku. Aku membetulkan cermin mataku sambil membelai kucing itu. Ketika itulah, aku sedar bahawa aku sedang berhadapan dengan empat orang lelaki yang berusia dalam lingkungan antara 30-50 tahun. Mereka memandangku dengan pandangan yang tajam. Tiga daripada mereka memakai songkok. Seorang lagi memakai kopiah.

Aku tahan perasaanku ketika itu kerana jauh di sudut hati, aku yakin satu kejadian buruk bakal berlaku di sini. Aku menghampiri Am. Aku pandang Am dengan rasa resah, ce-mas, bingung dan takut. Tapi Am terus tenang. “Ini siapa?” tanya salah seorang daripada mereka. “Kawan,” jawab Am pendek.

“Siapa lagi ada dalam rumah ni?” tanya lelaki yang sama. Aku dan Am berpandangan lagi. Kami bagai hilang kata-kata. Aku benar-benar bingung waktu itu.

“Bibik ada?” tanya Am padaku. “Eh? Ini rumah awak, takkan awak tak tahu siapa lagi yang ada dalam rumah ni. Tapi awak tahu perempuan ni ada di sini,” sampuk lelaki berkopiah putih itu agak sinis.

Aku semakin cemas. “Bukan, bukan. Saya cikgu Tadika Bintang Kecil. Kebetulan hari ni, pengetua tempat saya kerja ada buat sikit pulut kuning untuk disedekahkan pada murid-murid.

Saya ke sini nak menghantar semula bekas-bekas yang digunakan tadi,” terangku sungguh-sungguh. Keempat-empat lelaki itu seperti enggan menerima penjelasanku. Wajah mereka bagai mengejek diriku. “Saya rasa susah nak percaya cakap awak. Cuba tengok diri awak dan awak tengok diri dia ni,” tunjuk lelaki yang memakai kopiah itu sambil matanya meleret ke arah kami berdua dengan penuh syak wasangka. “Cara awak berdua begini boleh menimbulkan syak kerana berada dalam keadaan yang mencurigakan.”

Aku terasa langit bagaikan menghempap diriku waktu ini. “Tak, tak. Saya tak buat apa-apa. Saya datang sini hanya nak menghantar bekas makanan ni semula,” terangku lagi, cuba untuk meyakinkan lelaki-lelaki ini.

“Siapa saksi awak? Awak boleh tunjukkan pada saya se-lain daripada awak berdua, ada tak orang lain di rumah ini?” Tegas dan lantang nada pertanyaan yang dilontarkan. Air mataku mula menitis. Ya Tuhanku. Aku tidak me-lakukan apa-apa kesalahan jauh sekali dari melakukan dosa. Niatku ikhlas, mahu memulangkan barang seperti yang di-pinta. Tapi kenapa pula ini balasan yang aku dapat? Am membisu seribu kata.

“Encik, saya cikgu tadika di sini. Saya tak bohong,” rayuku dalam tangisan yang cuba kukawal. “Saya tak buat apa-apa pun dengan lelaki ni. Saya fikirkan ada pembantu rumah di sini, itu sebab saya masuk ikut pintu dapur. Dia pun baru jumpa saya di sini,” terangku sambil menuding jari ke arah Am. Mereka mentertawakan aku. Keikhlasan dan kebenaranku dipersendakan. Aku rasa amat terhina waktu itu. Aku tahu dosa dan pahala. Aku tahu berduaan tanpa hubungan yang sah boleh disalah ertikan oleh sesiapa sahaja. Tapi aku hanya menjalankan tugas. Tiada kena-mengena sama sekali dengan Am. Tapi kenapa jadi begini?

“Awak fikir saya percaya dengan cakap awak?” Salah seorang daripada mereka bersuara. “Orang bertudung pun boleh buat maksiat, inikan pulak awak!” Sekali lagi, aku dihina dengan cemuhan itu. Aku menangis. “Am, Ain datang sini bukan nak jumpa Am. Terangkan pada mereka yang kita tak buat apa-apa pun,” rayuku pada Am pula.

Aku kemudian kembali memandang lelaki-lelaki ini satu persatu. “Encik, saya tak ada kena-mengena dengan lelaki ni. Saya tak bersalah. Ini hanya salah faham. Tolonglah encik... saya tak buat jahat dengan lelaki ni. Percayalah cakap saya. Saya tak buat salah,” rayuku sungguh-sungguh. Salah seorang daripada mereka terus menekan aku.

“Keadaan awak sungguh mencurigakan. Rambut awak kusut-masai. Lelaki ni pulak, tak berbaju. Hanya berseluar pendek. Dah pulak tu, dalam rumah besar ni cuma awak berdua aje. Jangankan saya, kalau sesiapa tengok pun, tentu susah nak percaya dengan cakap awak tu.” Aku menangis tanpa segan silu. Di hadapan empat lelaki yang tidak aku kenali dan seorang lelaki yang entah mengapa lagak bagaikan orang bodoh tegak berdiri di situ sahaja.

“Am, tolong Ain Am. Tolong beritahu yang kita tak buat apa-apa pun. Ain tak bersalah dalam hal ni,” pintaku pada Am. Sudah tiada malu lagi aku di hadapan mereka semua. Aku tidak kisah, jika disuruh melutut sekalipun, aku sanggup. Hakikatnya, aku tidak bersalah dalam hal ini! “Awak ada apa-apa nak cakap?” tanya lelaki berkopiah itu lagi pada Am. “Awak tahu dia datang ke mari?” “Saya tak tahu ustaz,” jawab Am.

Ada sesuatu pada nada suaranya. Yang pasti, aku tidak menyukainya sama sekali. “Saya baru bangun. Bila saya turun, saya jumpa dia di dapur.” Nada suara Am kedengaran tegas dan meyakinkan. “Dah dekat pukul 7.00 malam, awak baru bangun? Apa yang awak buat tadi?” Suara ustaz itu sungguh lantang. Am terdiam. Dia memandangku tenang.

“Kalau saya tidur sampai ke malam pun, tak ada salahnya ustaz. Dia datang ke rumah saya cuma nak pulangkan bekas-bekas ma-kanan tu. Takkanlah pasal itu pun ustaz nak tangkap kami?” jelas Am sedikit membantah. Saat itu, aku sedar bahawa apa yang Am cuba terangkan pada mereka tidak akan berhasil. Aku mengharapkan Am membetulkan keadaan dengan mengiakan penjelasanku pada mereka, tapi caranya itu bagai mengiakan lagi tuduhan mereka terhadap kami.

“Sudah, sudah. Saya tak mahu buang masa lagi. Saya perlu ambil kenyataan tentang diri awak, dan awak juga,” katanya sambil memandang Am. “Saya nak jumpa emak dan bapak awak berdua sekarang!” Saat itu, wajah emak dan adik-beradikku bermain di mata. Apa perasaan emak bila mengetahui aku ditangkap khalwat bersama lelaki yang bukan mahramku dalam rumah ini? Ya ALLAH... aku tidak sanggup! Aku menangis lagi. Lemah seluruh anggotaku kerana niat asalku yang ingin menolong, menyebabkan aku dihukum sehingga begini.

Sejam kemudian, kedua-dua belah ahli keluarga berkumpul di rumah penghulu kawasan perumahan di situ. Kak Zah, Erin, mak lang dan pak lang menjadi saksi kami. “Ain tak bersalah pak lang. Ain ke rumah Kak Zah sebab hantar bekas plastik makanan. Ain tak tahu yang Am seorang saja di rumah tu, itu sebab Ain berani masuk.” Pak lang merenungku dengan rasa marah. Ternyata dia juga tidak mempercayai ceritaku. Sudah banyak air mataku tumpah.

Tapi, masih tiada seorang pun yang percaya. Am pula hanya membisu. Diamnya seolah-olah meyakinkan semua orang bahawa aku mengada-adakan cerita. Aku sungguh kecewa dengan sikap lepas tangan Am itu. Kenapa susah sangat dia membantuku menjelaskan pada mereka bahawa segala kata-kataku itu benar belaka?

“Mak lang,” tangisku perlahan. “Ain dengan Am tak buat apa-apa. Percayalah cakap Ain, mak lang. Mak lang percaya ke Ain sanggup buat perkara tak senonoh ni?” “Dah berdua macam tu, tentu Ain bersalah. Ain sedar tak apa yang Ain buat?” herdik mak lang, lantang. Renungan tajamnya menggambarkan kemarahannya. “Ain tak bersalah,” tegasku lagi dengan linangan air mata.

“Kalau Ain tahu Am ada di rumah masa bibik tak ada, Ain takkan masuk ke rumah tu,” terangku bersungguh-sungguh untuk meyakinkan semua yang mengelilingi kami. “Habis Ain nak mak lang buat macam mana? Benda dah jadi. Cakap yang betul pun dah tak guna, sebab memang dah nyata yang Ain dengan Am berdua aje dalam rumah tu!” Suaranya makin lantang. Mak lang marah benar. Tiada gunanya aku cuba meraih simpati daripada mak lang. Baginya, semua sudah termaktub dan aku tetap dianggap bersalah. Aku tatap wajah lelaki yang bergelar ustaz itu. “Ustaz, saya tak ada saksi yang boleh ustaz tanyakan tentang apa yang sebenarnya terjadi.

Tapi, demi Allah, saya tak buat kerja macam tu. Percayalah cakap saya ustaz.” “Kata mak saudara awak tu betul. Buat atau tak buat, perkara ni dah jelas. Awak berada dalam rumah tu berduaan dengan lelaki yang tiada hubungan dengan awak sama sekali. Keadaan diri awak pula, tak terurus. Begitu juga dengan pasangan awak ni. Awak tahu kan, berduaan di tempat yang tersembunyi dan boleh menimbulkan keraguan dan syak wasangka itu adalah berdosa?” Aku menangis teresak-esak.

“Saya tak tahu pun Am ada di tingkat atas. Saya fikirkan ada pembantu rumah di situ sebab itu saya berani masuk. Niat saya jujur, tak ada niat lain apatah lagi dengan lelaki ini. Saya tahu saya tak bersalah dalam hal ini. Percayalah cakap saya ustaz.” Kak Zah segera mendapatkan aku. Dia mengusap bahuku, sekadar meredakan perasaanku. “Ain sanggup junjung Quran yang Ain tak bersalah. Kenapa semua orang tak percaya cakap Ain? Ain tak bersalah. Tolonglah... Ain tak bersalah,” rintihku berkali-kali. Ustaz itu hanya mengeluh panjang.

Aku merasakan orang semakin ramai mengelilingi kami di rumah penghulu itu. Aku pandang Am. “Selalunya Am banyak mulut dengan Ain. Tapi bila Ain perlukan Am cakap waktu ni, Am tak mahu cakap. Tolonglah Ain, Am. Ini kali pertama Ain minta tolong Am. Beritahu pada mereka yang kita tak pernah ada hubungan selama ni.” Am tetap membisu. Hatiku bagai dihiris-hiris melihat Am terus membatu diri. Kenapa begini nasibku? Apakah dosaku sehingga aku dihukum begini sekali? Aku tak bersalah! Jeritku sekuat-kuat hati dalam dadaku.

“Saya minta penjaga Ain Hawani dan ibu bapa atau penjaga pada Adam Mukhriz faham bahawa kesalahan mereka amat serius kerana perbuatan mereka boleh menjerumus kepada zina, dosa yang dilaknat Allah S.W.T. Mereka ditemui berdua-duaan di dalam rumah bernombor 73 Jalan Merpati pada pukul 6.45 minit petang tadi. Mereka ditang-kap kerana disyaki berkhalwat dan sekiranya disabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih dari lima ribu...” Belum sempat ustaz itu meneruskan kata-kata, pak lang mencelah.

“Ustaz, saya mahu lelaki yang ditangkap bersama anak saudara saya bernikah dengannya sekarang juga. Saya malu ustaz. Keluarga kami malu, apatah lagi emak dan adik-beradiknya di kampung. Lebih baik mereka bernikah dan ini saja yang boleh menyelamatkan nama kedua buah keluarga yang tercemar. Saya yakin pihak lelaki adalah daripada keluarga yang berkedudukan. Kami juga keluarga yang ada harga diri. Saya tak rela anak saudara saya disia-siakan se-lepas apa yang berlaku di antara mereka.”

Pandanganku berpinar-pinar sebaik sahaja mendengar perkataan nikah. Aku meraung sekuat-kuat hati. Kenapa nasibku jadi begini sekelip mata? Aku terus menangis tanpa segan-silu lagi. Aku sudah tidak malu pada mereka yang memandang. Aku kecewa kerana penjelasanku tidak dite-rima. Aku kecewa kerana mereka menuduh aku telah me-lakukan perkara yang tidak baik dengan Am. Aku sungguh kecewa dengan sikap Am yang terus-terusan membisu.

Aku membantah cadangan pak lang tetapi pak lang tetap berkeras mahukan kami dinikah ketika itu juga. Dia tidak mahu nama keluarganya terus tercemar dan Am bebas tanpa bertanggungjawab terhadap perbuatannya. “Lelaki tak guna! Tak guna satu sen! Memang lelaki tak boleh harap! Tak guna ada lelaki macam ni dalam dunia. Pergi mati lagi baik dari hidup kat dunia ni!” Am membatukan diri walaupun mulutku lancang memarahi diri. Dia sedikit pun tidak berganjak dari tumbukanku yang bertalu-talu di tubuhnya.

“Ain lebih rela tak kahwin sampai mati dari kahwin dengan Am. Ain benci Am! Sampai bila-bila pun, Ain tetap benci Am. Lelaki tak guna! Tak guna, tak guna!!!” teriakku dengan perasaan benci yang meluap-luap. “Sudahlah tu, sudahlah tu.” Pak lang segera menghentikan perlakuan kasarku pada Am.

“Mengucaplah sikit. Macam dah kena rasuk hantu.” Mereka di sekeliling kami terpaku melihat aku bagai hilang pedoman. Ada juga yang menasihatkan aku supaya banyak beristighfar, tapi aku tidak ambil peduli dengan sesiapa pun ketika itu kerana aku benar-benar rasa tertekan. Biarpun tangan bagaikan digari, aku cuba menggunakan kakiku pula untuk melepaskan api marahku yang sedang marak membakar diri.

“Memang Ain dah kena rasuk hantu. Memang Ain dah kena rasuk hantu!!!” jeritku pada Am sambil cuba melepas-kan diri daripada pegangan pak lang dan mak lang. “Sudahlah tu Ain. Tak malu ke menjerit depan orang?” Marah mak lang padaku. Pegangannya makin kemas dan rapi. Tubuhku dipeluknya erat.

“Biar Ain menjerit sekarang. Kalau tak seorang pun yang percaya cakap Ain, buat apa Ain nak malu pula kalau Ain menjerit?” jerkahku pada mak lang. Hilang hormatku, tiada lagi rasa kasihku pada mereka. Seharusnya mereka mempercayaiku, bukannya menerima bulat-bulat tuduhan orang luar tanpa usul periksa.

“Budak ni!!!” Giliran pak lang pula memarahiku. Dia menarik aku ke arah pintu. Aku sempat memandang Am dengan penuh kebencian. “Hei jantan!!! Kau jangan biarkan aku jumpa muka kau lagi! Jangan sesekali pun kau biarkan muka kau kat depan mata aku lagi. Aku benci! Aku benciiiii!!!!”

“Ain Hawani!” Namaku disebut, suara mak lang itu bagai mengingat-kan aku supaya tidak keterlaluan menghamburkan perasaan marah pada lelaki yang sudah menjadi suamiku. Tapi aku tidak peduli lagi. Semuanya sudah punah. Masa depan, maruah diri dan segala impian indahku selama ini!

“Ain benci Am!!!” Jeritku buat kali terakhir.

Aku menangis dan terus menangis. Namun selama mana aku menangis dan sebanyak manapun air mata yang menitis, ia tetap tidak mengubah hidupku yang akan bergelar isteri kepada lelaki yang telah menghancurkan maruah dan nama baik keluargaku dalam sekelip mata.

Kenapa semuanya ini terjadi padaku? Dugaan apakah yang menimpaku hingga aku hilang upaya untuk mengelak segala yang tersurat ini. Aku benar-benar tidak berdaya menghadapi kenyataan segetir ini! Dalam usia aku sedang menganyam impian untuk ke menara gading, dalam usia aku sedang melakar mimpi indah untuk menjadi anak yang berjasa kepada keluarga, aku dimalukan sebegini rupa. Terasa punah masa depanku dan dalam sekelip mata maruahku diragut pergi begitu sahaja!